Selasa, 7 September 2010

Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawat, JPJ dan Polis

Encik Abdul Rahman (kanan) menyampaikan cenderahati kepada pemandu bas ekpres.

Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengadakan kempen keselamatan jalan raya ' Balik Kampung' di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 6 September 2010.

Encik Abdul Rahman, DSP Lau dan Sdr Ayob menyampaikan cenderahati Raya kepada penumpang bas ekspres.

Presiden Kawat, Sdr Ayob Mamat, berkata program yang julung kali diadakan oleh kelab itu bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya kepada pemandu terutama pemandu bas ekspres pada musim perayaan.

Selain itu, program juga bertujuan memeriahkan suasana Hari Raya dan `memperkenalkan' pihak media kepada orang awam.


Encik Abdul Rahman menyampaikan cenderahati kepada pemandu bas ekspres.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah JPJ, Encik Abdul Rahman Emang Anyie dan Wakil Ketua Polis Terengganu, DSP Lau.


Wartawan yang membuat liputan pada Program Balik Kampung anjuran Kawat dengan kerjasama JPJ dan PDRM di Terminal Bas MBKT.

Program pada malam itu turut mendapat kerjasama daripada Petronas, Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, DIGI dan Sinar Harian.

AJK Kawat, Nik Faridzal mengagihkan cendarahati Raya kepada penumpang bas ekspres.

AJK Kawat yang terbabit dengan Program Balik Kampung anjuran Kawat dengan kerjasama JPJ dan PDRM di Terminal Bas MBKT.

Raya Lebih Meriah Bagi AJK Kawat

Presiden dan AJK Kawat gembira bersama hadiah Hari Raya masing-masing.

Bagi memeriahkan suasana Hari Raya yang menjelang tidak lama lagi, Kelab Wartawan Terengganu mengagihkan hadiah Hari Raya kepada Exco Kawat selepas mesyuarat kelab di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu 6 September 2010.

Hadiah berupa sepasang Baju Melayu, songket, hamper dan wang tunai setiap seorang.


Presiden menyampaikan duit dan hamper raya kepada Wartawan Ukom, Aida Abd Rahman.

Presiden Kawat, Sdr Ayob Mamat, berkata hadiah itu adalah tanda ingatan kelab kepada AJK yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi bagi menjayakan program kelab untuk menaikkan imej wartawan di Terengganu selain menceriakan suasana raya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu Kawat selama ini dan berharap mereka akan terus membantu dan memberikan sumbangan kepada KAWAT.

AJK Kawat ketika mesyuarat di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.

Khamis, 2 September 2010

PETRONAS RAI KAWAT BERBUKA PUASA

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur (Baju putih tengah) melayan para wartawan mengambil juadah berbuka puasa

Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan untuk meraikan media pada majlis berbuka puasa.

Petronas Wilayah Timur misalnya, sebagai sebuah agensi korporat yang sentiasa mempunyai hubungan baik dengan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama media di Hotel Primula Beach Resort, kuala Terengganu baru-baru ini.

lebih 50 orang wartawan, jurugambar dan pengamal media hadir pada majlis tersebut dan telah diraikan oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Encik Zulkifli.

Terima kasih Petronas.

Kawat Rai Anak Merdeka

Dato' Sarifuddin, Sdr Ayob dan AJK Kawat bergambar bersama ibu dan bayi serta petugas di Wad Bersalin Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Kelab Wartawan Terengganu mengadakan majlis penyampaian hamper kepada bayi yang dilahirkan pada 31 Ogos 2010 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Pada majlis itu, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Sdr Ayob Mamat dan seorang usahawan, Dato'Sarifuddin Musa menyampaikan hamper berupa makanan ibu dan bayi serta set pakaian bayi kepada ibu yang melahirkan anak pada 31 Ogos 2010.

Seramai 15 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada tarikh keramat itu.
Dato' Sarifuddin dan Sdr Ayob menyampaikan hamper, set pakaian bayi dan Jalur Gemilang kepada seorang ibu yang dirawat di Wad Bersalin Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Selain itu, Kawat turut menyampaikan hamper kepada semua ibu yang sedang dirawat di Wad Bersalin Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Kawat, Penerangan dan Petronas Semarakkan Merdeka

Encik Mustaffa (tengah), Ayob (kiri) dan Mohd Rezam (kanan) bersama anggota JPJ dan Polis Trafik melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan.
Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dan Stesen Petronas Tok Jamal mengadakan program pengagihan Jalur Gemilang di Stesen Petronas Tok Jamal, Wakaf Mempelam pada 29 Ogos 2010 lalu.

Kira-kira 1,000 Jalur Gemilang diagihkan kepada pelanggan stesen Petronas itu selain pengguna jalan raya.
Ayob melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan diperhatikan oleh Encik Mustaffa, Encik Mohd Rezam dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Iskandar Jaafar (kanan).
Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mustaffa Abd Kadir, Presiden Kawat, Sdr Ayob Mamat dan Pengurus Stesen Petronas Tok Jamal, Encik Mohd Rezam hadir pada program itu.

Encik Mustaffa bergambar bersama AJK Kawat dan wartawan pada Program Pengagihan Jalur Gemilang di Stesen Petronas Tok Jamal.
Selepas pengagihan Jalur Gemilang di stesen minyak itu, majlis pengagihan Jalur Gemilang diteruskan pada majlis yang diadakan sebelum berbuka puasa di Restoran Seri Wangsa, Wakaf Mempelam dengan mengagihkan Jalur Gemilang kepada persatuan dan kelab serta badan pertubuhan bukan kerajaan.
Encik Mustaffa (kiri) dan Ayob menyampaikan Jalur Gemilang kepada Wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Aida Abd Rahman.

AKKEM: RIYAZ SUMBANGAN PAKEJ EKSKLUSIF RM3,000

  • TERIMA KASIH ... Ayob Mamat (kanan) menerima sumbangan baucer daripada Encik Abdul Shaheed Yusoff di Pulau Duyong baru-baru ini.

Sempena Malam Anugerah Kewartawanan KAWAT-ExxonMobil (AKKEM) 2010 yang akan diadakan tidak lama lagi, Riyaz Heritage Marina Resort and Spa Pulau Duyong telah menyumbangkan baucer penginapan ekslusif bernilai RM3,000.

Baucer berkenaan telah diserahkan Pengurus Besar resort berkenaan, Encik Abdul Shaheed Yusoff kepada Presiden KAWAT, Ayob Mamat di Pulau Duyong baru-baru ini.

Encik Abdul Shaheed berkata, sumbangan itu sebagai penghargaan dan terima kasih pihaknya kepada KAWAT yang selama ini telah memberikan kerjasama yang baik kepada pengurus resort berkenaan.

Bagi Presiden KAWAT, Ayob Mamat, sumbangan itu akan dijadikan hadiah iringan kepada salah satu kategori yang dipertandingan.

AKKEM dijangka diadakan pada minggu pertama Oktober dan sehingga kini YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diundang bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

KAWAT, SUTRA BEACH RAIK ULANG TAHUN KEMERDEKAAN

Presiden KAWAT, Ayob Mamat (baju hijau tengah) dan Pengurus Besar Sutra Beach Resort and Spa (berkaca mata-tengah) bersama pemimpin dan ahli KAWAT serta kakitangan hotel meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-53

Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) meraikan 31 Ogos bersama pegawai dan kakitangan Sutra Beach and Spa Resort di Merang, Setiu.

Dalam majlis ringas yang diadakan itu, ahli KAWAT dan pegawai hotel berkenaan telah memotong kek Merdeka 31 Ogos yang kemudiannya disusuli dengan majlis berbuka puasa.

Pengurus Besar hotel tersebut, Malizan Zakaria berkata, program tersebut bagi meraikan warga media selain sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-53.

Beliau berharap dengan pertemuan itu, ia akan dapat menjalinkan hubungan silaturrahim antara hotel berkenaan dan KAWAT.

KAWAT pula merakamkan ucapan terima kasih kepada hotel Sutra Beach and Spa Resort yang selama ini telah mempunyai hubungan yang baik dengan media.

Semoga hubungan ini akan terus berkekalan, insya'Allah.

TERIMA KASIH HOTEL PRIMULA

Dato' Rosli (berbaju hijau) bergurau dengan Aziz Che Mat (Juru kamera RTM) pada majlis berbuka puasa bersama media baru-baru ini.

Walaupun terdapat dua majlis berbuka puasa di hari dan tempat yang sama, namun majlis berbuka puasa Hotel Primula dengan media baru-baru ini tetap meriah.

Ia menggambarkan hubungan erat antara pengurusan hotel berkenaan dengan pengamal media di Terengganu.

Pengerusi Hotel Primula, Dato' Rosli Mat Hassan ternyata gembira dan meluangkan masa beramah mesra dan bertanya khabar rakan-rakan media yang sekian lama telah menjadi sahabat beliau.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), Saudara Ayob Mamat, YB Dato' Roslan Awang Chik dan Ketua Polis Negeri Terengganu.