Jumaat, 12 Oktober 2012

PERTEMUAN MB DENGAN PEMIMPIN KAWAT BERHASIL


 Selepas beberapa ketika berlaku "krisis" antara pucuk kepimpinan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) dengan Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ahmad Said, mereka akhirnya bertemu bagi menamatkan perkara tersebut.

 Pertemuan yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Batu Buruk,Kuala Terengganu pada 10 Oktober 2012 itu turut dihadiri pegawai kanan pejabat Menteri Besar dan hampir kesemua Ketua Biro Media di Terengganu.

 Perbincangan berlangsung dalam suasana yang baik dengan Menteri Besar memberikan beberapa penjelasan yang kemudiannya dibincangkan secara terbuka. Beberapa kekeliruan juga terungkai melalui pertemuan tersebut, terutama mengenai isu penubuhan Pusat Media Terengganu yang juga bakal menjadi pejabat rasmi KAWAT.

Presiden KAWAT, Ayob Mamat berkata, kesediaan beliau untuk hadir pada pertemuan tersebut adalah dengan niat yang baik iaitu untuk meleraikan segala salah faham dan menjernihkan keadaan.

"Saya gembira dan menyambut baik hasil pertemuan tersebut dan berharap apa yang dipersetujui bersama itu akan dilaksanakan dengan secepat mungkin," ujarnya.

Pada pertemuan Ayob dengan Menteri Besar selepas sesi perbincangan itu, YAB Datuk Seri Ahmad Said telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada KAWAT bagi penubuhan Pusat Media yang dimaksudkan.

Persetujuan itu terkandung melalui surat yang dikemukakan KAWAT dan "diminitkan' oleh Menteri Besar.

KAWAT mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu di atas persetujuan tersebut.