Selasa, 24 Ogos 2010

Terima Kasih TNB

Ir. Haji Md.Yuslan Md Yusuf (kanan) menyampaikan cek kepada Timbalan Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Haji Ahmad Redza Arshad di Pejabat TNB Jalan Air Jerneh, Kuala Terengganu pada 23 Ogos 2010 lalu.

Sempena Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil (AKKEM) 2010 yang dijadualkan diadakan bulan depan, Kawat telah menerima pelbagai sumbangan bagi memeriahkan lagi program tersebut.

ExxonMobil adalah syarikat penaja utama kepada AKKEM yang masuk tahun ke-25 tahun ini dengan jumlah tajaan tahun ini sebanyak RM60,000. Jumlah itu telah meningkat sebanyak RM20,000 berbanding RM40,000 sebelum ini.

Terbaharu, TNB Wilayah Terengganu telah menyampaikan sumbangan kepada Kawat bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Pengurus Besar TNB Wilayah Terengganu, Ir.Haji Md Yuslan Mohd Yusuf telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Timbalan Presiden Kawat, Haji Ahmad Redzal Arshad.

TNB adalah antara agensi korporat yang sentiasa bekerjasama dan memberikan sokongan kepada Kawat. Terima kasih daun keladi.

Rabu, 18 Ogos 2010

KAWAT ZIARAH AHLI SAKIT DI KTS

Presiden Kawat, Sdr Ayob Mamat menyampaikan sumbangan kepada Azamzam ketika mengunjungi beliau di Hospital Pakar Kuala Terengganu.

APA KHABAR ... Presiden Kawat bertanya khabar kapada Azamzam Mamat

Seorang dahli KAWAT, Azamzam Mamat dari Utusan Terengganu dimasukkan ke Hospital Pakar Kuala Terengganu baru-baru ini akibat menghidap demam denggi.

Rombongan Exco KAWAT yang diketuai Presiden, Sdr Ayob Mamat, Mohd Yassin Embong (Penolong Setiausaha) dan Nik Fariza (Pen. Bendahari) telah menziarahi beliau di hospital berkenaan baru-baru ini.

Alhamdulillah beliau kelihatan semakin sihat dan telah mendapat rawatan yang sewajarnya di hospital berkenaan.

KAWAT berdoa agar beliau akan segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa secepat mungkin.


YT MIDTOWN SENTIASA DEKAT DENGAN MEDIA

Nik Roselin (tengah) bergambar bersama sebahagian warga media pada majlis berbuka puasa di YT Midtown Hotel, Kuala Terengganu.

Menghargai media adalah satu usaha murni yang sentiasa ada di Terengganu. Baru-baru ini, Hotel YT Midtown Kuala Terengganu telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama media di hotel berkenaan di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu.

Lebih 30 orang wartawan terdiri daripada Ketua Biro, Exco Kawat, jurugambar dan pengamal media menyertai program tersebut yang sekaligus meletakkan YT Midtown sebagai hotel paling awal meraikan media pada bulan Ramadhan tahun ini.

Pengurus Jualan Kanan hotel YT Midtown, Nik Roselin Nik Mohd Nawi berkata, majlis berkenaan dianjurkan sebagai menghargai warga media yang selama ini telah menjalinkan hubungan yang baik dengan hotel berkenaan.

"Kami sangat menghargai media dan berharap hubungan ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

"KAWAT juga telah menjadi antara pelanggang penting kami apabila menganjurkan pelbagai program melibatkan media di hotel kami selain membantu mempromosiklannya.... saya amat berterima kasih," ujarnya.

Hotel YT Midtown juga menawarkan pakej berbuka puasa yang enak dan menarik kepada para pelanggannya.

RAMADHAN: TNB TERUSKAN TRADISI RAI MEDIA

Tuan Haji Yuslan ketika berucap pada majlis berbuka puasa TNB Media di Hotel Primula.

Tuan Haji Yuslan, Encik Mustaffa dan Sdr Ayob berbual sebelum majlis berbuka puasa.

Ketua Biro dan wartawan yang hadir pada majlis berbuka puasa TNB Media.

Sdr Ayob ketika menyampaikan ucapan pada majlis berbuka puasa TNB Media.

Haji Md Yuslan membantu petugas media mengambil makanan pada majlis berbuka puasa TNB-Media di Hotel Primula.

Bagi meneruskan tradisi menghargai peranan serta sumbangan pihak media, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wilayah Terengganu meraikan petugas media pada majlis berbuka puasa di Hotel Primula 18 Ogos lalu.

Majlis yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk mempereratkan hubungan silaturrahim antara TNB dan Media di Terengganu.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Tuan Haji Ir Md Yuslan Md Yusuf dalam ucapannya, berkata majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan TNB kepada pihak media yang sentiasa bekerjasama mempromosi agensi tersebut.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Sdr Ayob Mamat dan Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mustaffa Abd Kadir.
-shuhaimi ahmad-

Rabu, 11 Ogos 2010

Anugerah dan Kebajikan

Ajk Kawat sedang memikirkan pelbagai program untuk ahli Kawat pada Mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan di Pejabat Penerangan Daerah, Kuala Terengganu 8 Ogos lalu.

Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Sdr Ayob Mamat meminta ahli kelab yang ingin menyertai Anugerah Kewartawanan Kawat - ExxonMobil 2010 menghantar segera penyertaaan mereka kepada Setiausaha Kawat sebelum tarikh tutup 15 Ogos depan.

Katanya, Kawat tidak akan melayan sebarang rayuan untuk menerima penyertaan selepas tarikh itu kerana pihak penganjur telah memberi masa yang cukup untuk ahli menyediakan bahan penyertaan.

Sdr Ayob Mamat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kawat di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu baru-baru ini.

Anugerah Kewartawanan Kawat - ExxonMobil 2010 pada tahun ini dijadualkan pada 27 September depan akan diadakan lebih meriah sempena 25 tahun penubuhan Kawat.

Perbicangan mengenai anugerah itu telah diadakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kawat yang bermesyuarat di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sementara itu, jawatankuasa turut membincang sumbangan kepada ahli yang sakit atau ditimpa bencana.

Jawatankuasa memutuskan sumbangan hanya diberikan kepada ahli yang memaklumkan kepada jawatankuasa dalam tempoh sebulan daripada tarikh mereka jatuh sakit atau ditimpa musibah.

Ahli boleh menghubungi Pengerusi Biro Kebajikan, Hajah Hashimah Mohd di talian 013 9215654 untuk keterangan lanjut. -shuhaimi ahmad-

Sabtu, 7 Ogos 2010

TERIMA KASIH YB DATO' NASIR

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri bergambar bersama wartawan selepas majlis di TTI

Sekali lagi Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri meraikan media dalam majlis hi tea di Taman Taman Islam (TTI), Kuala Terengganu beberapa hari lalu.

Majlis yang sederhana itu ternyata meriah dengan kehadiran lebih 50 orang wartawan dan jurugambar serta pengamal media yang terdiri daripada ahli KAWAT.

Ini adalah acara tahunan yang diadakan YB Dato' Mohd Nasir sebagai menghargai peranan serta sumbangan rakan-rakan media.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden KAWAT, Ayob Mamat yang banyak membantu menjayakan program tersebut.

YB Dato' Mohd Nasir turut menyampaikan cenderahati kepada para hadirin sebelum majlis berakhir.

Terima kasih YB

BOLING TNB-MEDIA MERIAH

Serius ... Menyemak senarai nama pemain

Ketua Biro Kosmo!, Mustafa Kamal Lakawa menerima hadiah

Gambar kenangan semua peserta bersama dengan pegawai TNB


Haji Ir Mohd Yuslan Yusof, Pengurus Besar TNB Wilayah Terengganu membaling bola sebagai tanda perasmian kejohanan boling TNB-Media


Hubungan baik TNB Wilayah Terengganu dengan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) terus erat. Terbaharu, TNB telah menganjurkan Kejohanan Boling Mesra Media di Terengganu Equesterian Resort (TER's) Kuala Ibai.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar menghadiri program tersebut yang turut dihadiri oleh pegawai kanan TNB dari pelbagai bahagian itu.

Pengurus Besar TNB, Tuan Haji Ir Mohd Yuslan Yusof dalam ucapannya ternyata bangga dengan sambutan yang diberikan dan berharap ia akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, TNB sentiasa menghargai peranan dan sumbangan media dan kerana itu beliau mahukan hubungan mesra yang terjalin dapat ditingkatkan pada masa akan datang.