Jumaat, 5 Mac 2010

Jom Ke Majlis Perkahwinan Ira di KB

Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) akan menganjurkan lawatan sehari ke Kelantan sempena majlis perkahwinan ahli Kawat yang juga wartawan Sinar Harian, Azira (Ira) Mohd Nasir pada Jumaat 12 Mac ini.

Selain meraikan majlis perkahwinan Ira di Kota Bahru, ahli juga berpeluang membeli belah di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur serta membeli belah di bandar Kota Bahru.

Kawat menyediakan sebuah bas dengan hanya 32 ahli sahaja dibenarkan menyertai lawatan itu berdasarkan `siapa cepat dia dapat'.

Jadual lawatan adalah sebagaimana berikut:

7.30 pagi - Bertolak ke Pangkalan Kubur untuk membeli belah
2.30 ptg - Menghadiri kahwin Ira
5.00 ptg - Pertemuan/hi tea bersama Kelab Media Kelantan
6.30 ptg - Menziarahi Ketua Biro Bernama yang bersalin di Kota Bharu
7.45 mlm - Membeli belah di pasar Wakaf Che Yeh
(Jadual ini bagaimanapun tertakluk kepada pindaan)


Kepada ahli yang berminat, sila daftar dengan menyertakan deposit RM20 kepada Setiausaha Kawat, Rosamiza Omar (Bernama), Aida Abdul Rahman (UKOM), Rida Suzirawati (Bilik Berita RTM) dan Shuhaimi Ahmad (Jab Penerangan Negeri Terengganu). Deposit akan dipulangkan semula kepada ahli yang menyertai lawatan itu ketika sampai ke destinasi manakala bagi yang mendaftar tetapi tidak menyertai lawatan itu, deposit akan menjadi milik Kawat.

Pendaftaran secara kelompok TIDAK DIBENARKAN dan hanya ahli yang MEMBAYAR YURAN/TELAH HADIR MESYUARAT AGUNG TAHUN INI akan diberikan keutamaan.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada jam 3 petang Selasa 9 Mac 2010. -mismat-

Mesyuarat Pertama Exco Kawat

Presiden KAWAT, Ayob Mamat (hujung) mempengerusikan mesyuarat exco KAWAT pertama di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Pulau Kambing 3hb Mac 2010


Mesyuarat pertama Exco Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) baru-baru telah menyaksikan penubuhan beberapa biro penting yang dianggap mampu memacu kelab ini ke era yang lebih gemilang, bersandarkan beberapa strategi yang telah dirancang.

Penubuhan biro berkenaan yang dipimpin oleh Exco yang dianggap mampu membawa hasrat dan impian KAWAT bagi memastikan kelab ini terus kekal sebagai kelab media paling aktif di negara ini.

Ceria ... Mesyuarat Exco KAWAT sentiasa ceria dengan gelagat yang mencerminkan semangat hubungan kekeluargaan di kalangan mereka.

Penubuhan biro berkenaan telah diumumkan Presiden, Ayob Mamat iaitu Biro Sukan dan Rekreasi diketuai Shamsiah Mohamad (Bernama) dan dibantu I Ling, Wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Aida Abdul Rahman mengetuai biro yang baru iaitu Biro Keahlian dan dibantu oleh Rida Suzirawati Muda (RTM) manakala Hashimah Mohd (Berita Harian) mengetuai Biro Kebajikan dibantu oleh Khairul Azlam Mohamad (Siasah).

Dua lagi biro yang baru diperkenalkan iaitu Biro Promosi/Publisiti diketuai oleh Jurufoto Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Shuhaimi Ahmad dibantu oleh Wartawan TV3, Sharifah Salwa Syed Mohamad manakala Penolong Pengarah Penerbitan Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Kamaruddin Mat Akib mengetuai Biro Projek Khas dan beliau dibantu oleh Wartawan Berita Harian, Baharom Che Bakar.

Pada mesyuarat itu, Ayob turut merancang pelbagai program termasuk majlis dialog serta pertemuan wartawan dengan pemimpin negeri serta badan korporat setiap bulan, majlis sambutan 25 Tahun Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil, pertemuan dengan Kelab Media Pahang dan penubuhan Kelab Alumni Kawat di Kuala Lumpur.

Presiden turut mengumumkan pelantikan Puan Dr Nawiyah Che Lah (Pengarah Penyiaran/RTM), Mustafa Kamal Lakawa (Ketua Biro Kosmo!), Mohd Lazim Endut (Ketua Biro Sinar Harian) dan Mohd Kamal Ariffin (NST) sebagai Exco tambahan dan dipersetujui sebulat suara oleh Exco KAWAT.

Selain itu, Presiden turut meminta ajk serta ahli Kawat sentiasa memberi kerjasama kepada kelab dan menyertai akitiviti yang diadakan oleh Kawat. -mismat-