Selasa, 18 November 2008

LAWATAN KE INDONESIA BERJAYA



Antara peserta bergambar bersama dengan Ketua Pengarang Agensi Berita Nasional Indonesia (Antara), Bapak Saidul Hadi (kanan) di Wisma Antara, Jakarta

SEDAP ... Peserta menikmati jamuan nasi padang yang popular di ibu kota Jakarta

KENANGAN ... Peserta bergambar di depan hotel Qualiti, Jakarta sebelum berlepas pulang ke tanahair

DIRAIKAN ... Peserta turut diraikan Kelompok Informasi Masyarakat (KIM) Kampung Binong Jadi di Bandung.


JAKARTA, -- Kerajaan Terengganu akan mengadakan kerjasama dengan Agensi Berita Indonesia (ANTARA) bagi menghantar kakitangannya menjalani latihan di agensi berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata program menghantar wartawan dan jurugambar dari Unit Komunikasi Negeri (UKOM) itu, penting bagi menambahkan kemahiran petugas unit itu, yang merupakan agensi penerangan bagi kerajaan Terengganu.

Beliau berkata dengan menjalani latihan tersebut, kerajaan berharap petugas UKOM dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat.

"Kita akan memilih beberapa wartawan dan jurugambar dari Unit Komunikasi Negeri bagi menjalani latihan di Agensi Berita Indonesia ini bagi tempoh antara satu dan dua minggu.

"Banyak yang boleh dipelajari oleh wartawan dan jurugambar UKOM apabila berpeluang menjalani latihan di ANTARA yang merupakan salah sebuah agensi berita yang sudah terkenal di rantau ini," katanya.

Beliau mengetuai rombongan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan (JKPKP) Terengganu, mengadakan lawatan sambil belajar selama empat hari ke Bandung dan Jakarta, Indonesia yang berakhir semalam.

JKPKP Terengganu terdiri daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan iaitu Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Pada hari pertama,Khamis, rombongan JKPKP Terengganu mengadakan perjumpaan dengan Kelompok Informasi Masyarakat (KIM) Kampung Binong Jadi di Bandung.JKPKP Terengganu juga telah mengadakan lawatan ke Stesen Televisyen Republik Indonesia (TVRI) dan ANTARA.

Seramai lapan ahli Kawat menyertai lawatan tersebut.