Rabu, 30 September 2009

MAJLIS HARI RAYA KAWAT 10 OKTOBER

Kawat sekali lagi akan mengadakan Malam Keluarga Aidifitri 2009 yang akan diadakan di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu bermula pukul lapan malam.

Seramai 300 orang terdiri daripada ahli Kawat dan keluarga mereka dijangka menyertai acara tahunan itu nanti yang antara lain bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga mereka.

Pelbagai acara menarik telah disusun dan sudah tentu, ramai di kalangan ahli Kawat boleh mencuba bakat menyanyi lagu raya.

Kepada semua ahli Kawat, anda DIWAJIBKAN mendaftar kehadiran kepada Setiausaha Kawat, Puan Aida Abdul Rahman di talian 013-9587337 atau Penolong Setiausaha, DJ Rita di talian 019 6065740. sebelum 5 Oktober.

Kawat tidak akan bertanggungjawab jika ahli yang hadir tidak mendapat tempat duduk jika mereka GAGAL mendaftar. Kami memohon kerjasama anda semua kerana program ini melibatkan perbelanjaan yang agak besar.

Selamat Hari Raya!

Isnin, 28 September 2009

Demi Tugas, Itulah Wartawan/Jurugambar


DEMI TUGAS DAN PEMBACA. Tanpa mengira tempat, tepi tandas pun tidak mengapa. itulah tugas wartawan dan jurugambar. Segala-galanya demi pembaca.

kelihatan tiga jurugambar dari kiri; Jasneh (Bernama), Imran (NST) dan Fauzi (Utusan) sedang membereskan tugas mereka pada Majlis Adilfitri Peringkat Negeri Terengganu di pekan Marang.

Majlis itu dihadiri Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said.

Mereka bertiga sedang mengedit gambar-gambar yang dirakam pada majlis itu sebelum dihantar terus ke ibu pejabat di Kuala Lumpur menggunakan komputer riba yang dilengkapi dengan broadband. -mismat-

Sabtu, 26 September 2009

AHLI KAWAT TERIMA DUIT RAYA MB

SERONOKNYA ... Nur Fazlizai Ali (Mek Ja) dari Bernama TV gembira mendapat duit raya

Wartawan bergambar bersama YAB Menteri Besar Terengganu selepas menerima duit raya
ALHAMDULILLAH ... Saudara Azhar (Jurugambar The Star) menerima duit raya daripada Menteri Besar

SATU MALAYSIA ... RSN Murali (Ketua Biro The Star) turut menerima duit raya daripada Menteri Besar Terengganu

Beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, wartawan yang bertugas di Terengganu rasa gembira kerana mereka menerima duit raya daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang telah sudi menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 seorang.
Bagi mereka yang tinggal jauh di kampung, sumbangan tersebut ternyata melegakan yang membolehkan mereka menampung kos minyak kenderaan.
Sesungguhnya kami amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu yang telah sudi menyampaikan sumbangan itu yang sebagai tanda ingatan beliau kepada kami.
Terima kasih daud keladi.

Rabu, 16 September 2009

Celcom Rai AJK Kawat

Exco Kawat telah diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh Celcom Wilayah Timur yang diadakan di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu semalam.

Program itu bertujuan bagi merapatkan hubungan kepimpinan Kawat dengan Celcom terutama dalam merancang pelbagai aktiviti bersama pada masa akan datang.

Celcom sebelum ini telah mengadakan beberapa acara bersama Kawat dan kami berharap kerjasama itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

AKTIVITI TERBAHARU KAWAT

AJK Kawat yang mengadakan mesyuaratnya di Hotel Grandcontinental, Kuala Terengganu semalam (15/09/2009) -mismat-

Mesyuarat Jawatankuasa Kawat semalam telah memutuskan beberapa perkara dan antara lain ialah sebagaimana berikut:

ANUGERAH KEWARTAWANAN KAWAT-EXXONMOBIL:

Akan diadakan pada 28hb Oktober 2009 dan dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin. Status terkini ialah, penilaian sedang dibuat dan proses pentadbiran mengenainya sedang diuruskan oleh pihak urusetia. Mesyuarat memutuskan tiada penyertaan yang ditolak.

MALAM KELUARGA AIDILFITRI KAWAT 2009

Akan diadakan pada 2 Oktober 2009 yang akan menghimpunkan semua ahli keluarga media dengan acara jamuan dan pemberian hadiah.

RETREAT MEDIA KE CAMERON HIGHLAND

Akan diadakan pada 30 Oktober 2009 di mana semua penyertaan program selama dua hari ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Kawat. Pendaftaran akan dibuka selepas hari raya nanti. Harap bersabar.

MESYUARAT AGUNG KAWAT 2009:

Akan diadakan pada 28hb Oktober 2009 di tempat yang akan dimaklumkan kemudian.

Khamis, 10 September 2009

DEMI TUGAS SEORANG WARTAWAN

Takut dengan selesema babi atau H1Ni? Langkah berjaga-jaga turut diambil oleh ahli Kawat dengan memakai topeng muka ketika membuat liputan isteri Menteri Besar Terengganu menziarah dan menyampaikan hamper kepada pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah baru-baru ini.

Walaupun agak merimaskan, namun ianya perlu bagi memastikan wartawan yang membuat liputan itu tidak dijangkiti sebarang penyakit terutama H1N1 selain semua mereka itu takut tidak dapat beraya!!

Dan kerana memakai topeng itu, ramai yang menganggap diri mereka macam doktor...terima kasih kepada Dr Mohamad Omar kerana bekalkan topeng muka untuk kami. -mismat-

Jumaat, 4 September 2009

MTPNT BERSAMA MEDIA MERIAH

Dato' Zaabar (tiga dari kanan), Pengurus Besar MTPN, Fathil Abd Ghani (dua dari kanan), Presiden Kawat, Ayob Mamat (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang Pertandingan Fotografi Pesta Terengganu 2009 di Taman Tamadun Islam. -mismat-


Majlis berbuka puasa Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) bersama media di Taman Tamadun Islam (TTI) baru-baru ini diadakan dalam suasana meriah.

Lebih 60 orang ahli Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) yang terdiri daripada wartawan dan jurugambar telah menghadiri majlis tersebut yang turut diserikan dengan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Pesta Terengganu 2009 yang disempurnakan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib.

Pengurus Besar MTPNT, Ahmad Fathil Abdul Ghani menjelaskan, majlis tersebut diadakan sebagai menghargai peranan serta sumbangan warga media terhadap industri pelancongan di negeri ini.

“Ini adalah acara tahunan MTPNT dan kami sebenarnya amat berbesar hati dan gembira kerana dapat bersama dengan rakan-rakan media hari ini,” katanya.

Mengenai pertandingan Fotografi Pesta Terengganu 2009, beliau berkata, ia sebagai usaha menggalakan orang ramai merakamkan gambar-gambar menarik mengenai Terengganu.

Sementara itu, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) mengucapkan terima kasih kepada MTPNT kerana sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong pelbagai usaha kelab itu.

Malah kepercayaan MTPNT agar Kawat menguruskan pertandingan fotografi itu merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan.