Ahad, 25 November 2012

Anugerah 10 Hari bulan, Mesyuarat Agung 24 Hari bulan
















DUA acara penting Kelab Wartawan Terengganu (Kawat)  iaitu Anugerah Kewartawanan Kawat – ExxonMobil (AKKEM) 2011 dan Mesyuarat Agung bagi pemilihan 2013/14 akan diadakan pada Disember depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kawat 2010/12 kali ke 9 yang diadakan di Hotel YTM Midtown, Kuala Terengganu pada 23 November 2012 baru-baru ini telah berbincang dan bersetuju dua program penting akan diadakan pada tarikh itu.

Presiden Kawat, Sdr Ayob Mamat ketika mempengerusikan mesyuarat itu, berkata AKKEM 2012 akan diadakan di Hotel Primula dan Menteri Besar Terengganu dijangka merasmikan acara berprestij itu manakala mesyuarat agung akan diadakan di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu jam 8.00 malam.

Mesyuarat turut membincangkan mengenai Koperasi Media Terengganu Berhad  yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Pada 20 November 2012 baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera menyampaikan surat kebenaran penubuhan  koperasi daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada Sdr Ayob di Terengganu Equesterian Resort, Kuala Ibai.

Presiden meminta kepada semua ahli yang berminat untuk menjadi ahli koperasi mendapatkan borang daripada Setiausaha Kawat, Sdr Rosamiza Omar.

Selain itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Rumah Kawat yang akan beroperasi di tingkat satu atas Zie Chocolate Jalan Sultan Sulaiman (berhadapan Bernama) bermula awal Disember ini. -shuhaimi-

Jumaat, 23 November 2012

Kawat terima surat kelulusan koperasi









Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memberi kelulusan kepada Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) untuk menubuhkan koperasi. Surat kelulusan dan kebenaran penubuhan koperasi itu telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Koperasi Negeri, YB Dato' Haji Mohamed Awang Tera pada majlis ringkas yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai pada 20 November 2012 lalu.

Pada majlis itu, Dato' Haji Mohamed menyampaikan sijil itu kepada Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Sdr.Ayob Mamat disaksikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato' Rosol Wahid dan Pengarah SKM, Encik Razali Mohamad.

Idea penubuhan koperasi media dicetuskan oleh Sdr.Ayob kira-kira dua tahun lalu pada mesyuarat agung Kawat dan kini idea itu telah dapat direalisasikan.

`Saya amat berbangga kerana dapat mencipta sejarah dengan penubuhan koperasi media ini dan terima kasih kepada ahli serta SKM yang banyak membantu dan memberi sokongan bagi mewujudkan koperasi untuk warga media' katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksukutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Dato' Haji Azmi Razik dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (Upen), Dato' Mat Razali Kassim.

Sebelum majlis penyampaian sijil itu, SKM Terengganu turut menganjurkan Kejohanan Boling Tertutup Lima Penjuru Piala YB Dato' Mohamed Awang Tera yang disertai oleh pasukan SKM. YPU, Kawat dan Upen.

Pada kejohanan itu, Kawat B yang diwakili oleh  Setiausaha Kawat, Rosamiza, wartawan Sinar Harian, Zubir Sulaiman dan dua Ahli Jawatankuasa Kawat, Kamal Arifin dan Nik Faridza Nik Jaafar menjadi johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM400.00. -shuhaimi ahmad-