Ahad, 28 September 2008

ANUGERAH KAWAT-EXXONMOBIL 2008 DI TTI

TINJAU ... Presiden Kawat, Ayob Mamat diberikan penerangan mengenai Pusat Konvensyen TTI oleh Puan Khairunisa Gan Abdullah (kiri) sambil disaksikan exco Kawat, Hajjah Hashimmah Mohamad.


Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), tempat akan berlangsungnya Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2008


KUALA TERENGGANU, 28 Sept: Dengan tema "kemeriahan di aidilfitri", Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2008 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), iaitu satu lagi mercu tanda terhebat di Terengganu.

Pucuk kepimpinan Kawat telah pun mengadakan lawatan bagi melihat kemudahan serta keperluan yang ada di Dewan Konvensyen tersebut dan ia ternyata bakal menjanjikan penganjuran program tersebut lebih meriah kali ini.

Dijangka lebih 250 orang tetamu akan hadir pada majlis yang akan diadakan pada 20 Oktober depan dengan majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Kawat juga akan mengadakan pameran khas bertajuk "Wajah-Wajah Terengganu" sempena program tersebut.

Terletak di pinggir Sungai Terengganu dan bersebelahan Masjid Kristal selain terdapat monumen masjid-masjid terkemuka dunia, TTI adalah sesuatu yang amat menarik perhatian pelancong.



Jumaat, 26 September 2008

SAH YB DATUK AHMAD SHABERY RASMI AKKEM PADA 20 OKTOBER

Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil Terus Disambut Meriah Setiap tahun

KUALA TERENGGANU 26 Sept: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek telah mengesahkan untuk hadir pada makan malam sempena Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2008 yang akan diadakan di Kuala Terengganu pada 20 Oktober depan.

Pengesahan itu dibuat petang semalam, sekaligus ia bakal memeriahkan lagi majlis tersebut yang telah dianjurkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Sehubungan itu, Exco Kawat yang mengadakan perbincangan khas mengenai penganjuran Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil malam tadi telah pun memperincikan beberapa perkara berkaitan bagi melicinkan sambutan acara yang dianggap berprestij itu.

Cadangan awal program tersebut ialah di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) tetapi jika usaha itu gagal, Kawat akan mengadakannya di beberapa hotel terkemuka terpilih terutama Hotel Primula.

Kawat masih mengekalkan tema "Kemeriahan Di Aidifitri" sempena Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2008 selain mengadakan pameran khas Wajah-Wajah Terengganu melalui gambar-gambar yang memaparkan keindahan dan keunikan yang terdapat di negeri ini.

Kali ini, Kawat akan mengundang semua Presiden Kelab Media di seluruh negara selain Ketua-Ketua Pengarang akhbar utama di negara ini.

Selasa, 23 September 2008

DATUK AHMAD SHABERY CHEEK RASMI ANUGERAH KAWAT-EXXONMOBIL



Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dijangka akan hadir bagi menyampaikan Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2008 pada 20 Oktober ini. Presiden Kawat, Ayob Mamat telah menemui beliau di Kuala Terengganu kelmarin dan menyampaikan jemputan lisan bagi mengundang Ahli Parlimen Kemaman itu. hari ini pula (23hb September), Setiausaha Akhbar beliau, Hisham Abdul Hamid ketika dihubungi Ayob memaklumkan bahawa Datuk Ahmad Shabery pada dasarnya telah bersetuju dengan jemputan Kawat. Kawat bercadang untuk mengadakan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) dengan tema "kemeriahan di Aidilfitri".

ExxonMobil sekali lagi meneruskan penajaan anugerah ini untuk kali 22 dengan nilai tajaan sebanyak RM40,000. Kawat berhasrat untuk menganjurkan majlis tersebut lebih meriah tahun ini bagi memandangkan Kawat ini sudah pun berusia 25 tahun.

Kawat juga bercadang untuk mengundang bekas-bekas pemimpin Kawat yang kini bertugas di seluruh negara untuk sama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Selain itu, pertemuan dengan Presiden Kelab-Kelab seluruh negara juga akan diadakan di Kuala Terengganu sempena Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil itu nanti bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan kepentingan media. Ia juga memungkinkan bagi mewujudkan sebuah Sekretariat Media Kebangsaan. Pentadbiran Kawat sedang menguruskan hal-hal berkaitan jemputan.



Isnin, 22 September 2008

FAUZI BERNAMA TV KEMALANGAN




Seorang ahli Kawat, Mohd Fauzi Fadzil dari Bernama TV telah dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu akibat kemalangan jalan raya. Beliau ketika ditemui di hospital berkenaan lewat malam tadi kelihat sihat tetapi terpaksa menerima beberapa jahitan kecil di bahagian kepala.

Bagaimanapun menurut doktor, terdapat pendarahan di kepala beliau sehingga menyebabkannya pengsan ketika di rumah.

Namun, kecederaan itu dikatakan tidaklah terlalu serius dan doktor telah melakukan rawatan bagi membuang darah beku tersebut.

Kata Fauzi, kemalangan berlaku ketika dia menaiki motosikal di Jambatan Sultan Mahmud dan dilanggar oleh sebuah kereta yang kemudiannya melarikan diri.

Kawat amat bersimpati dengan apa yang telah menimpa ke atas ahli kita itu, apatah lagi di bulan Ramadan ini.

Kawat mendoakan agar beliau akan cepat sembuh dan dapat bekerja semula seperti sediakala, insya'Allah.

Fauzi boleh dihubungi di talian 019-9991287

Jumaat, 19 September 2008

TERKINI: PENDAFTARAN MELALUI SMS TIDAK DITERIMA

KUALA TERENGGANU 19 Sept: Malang sekali ramai ahli Kawat yang mendaftar untuk menyertai lawatan ke luar negara pada penghujung Oktober depan dengan menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (sms).

Adalah dimaklumkan bahawa Kawat tidak akan menerima secara sah pendaftaran sedemikian kerana mereka diwajibkan mengisi borang khas selain menyediakan wang deposit serta diserahkan kepada Setiausaha Kawat, Cik Aida Abdul Rahman.

Borang yang dimaksudkan telah pun diedarkan dan sesiapa yang ingin menyertai lawatan tersebut boleh mendapatkan borang atau keterangan lanjut dengan menghubungi beliau di talian 013 958 7337.

Kawat merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama dan perhatian anda semua.

Isnin, 15 September 2008

MEDIA TERENGGANU DIRAI LAGI

Datuk Zaabar bermesra dengan wartawan di TTI

KUALA TERENGGANU: Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) terus menjalinkan hubungan erat dengan media apabila menganjurkan majlis berbuka puasa bersama wartawan di Taman Tamadun Islam (TTI) kelmarin.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran exco kerajaan negeri, YB Datuk Zaabar Mohd Adib yang diiringi Pengurus Besar MTPN, Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Seramai 50 orang warga media Terengganu menghadiri majlis tersebut yang diadakan di pinggir sungai Terengganu itu.

Ia bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara MTPNT dan media.

LAWATAN DAPAT SAMBUTAN LUAR JANGKA

KUALA TERENGGANU 15 Sept: Lawatan ke luar negara yang pertama kali dianjurkan Kawat pada 30hb Oktober hingga 1 November ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan.

Sehingga semalam, Setiausaha Kawat, Aida Abdul Rahman menerima banyak pendaftaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan telefon.

Malangnya, Kawat tidak menerima pakai pendaftaran seperti itu kerana setiap ahli yang berminat mesti mengisi borang disediakan dan menyediakan wang deposit sebanyak RM200.

Selain itu, rekod bayaran yuran ahli juga diambil kira dalam pemilihan menyertai lawatan kali ini.

Kawat dijangka akan melawat Chiangmai, Thailand.

Ahad, 14 September 2008

SUKAN: KAWAT MAHU KE LUAR



KUALA TERENGGANU, 14 Sept: Bagi mengeratkan hubungan silaturahim dengan kelab media di Pantai Timur, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bercadang untuk mengadakan perlawanan futsal persahabatan dengan kelab media di negeri berkenaan.


Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi Kawat, Yassin Embong berkata, perlawanan tersebut dirancang diadakan selepas Aidilfitri nanti.
Yassin Embong

"Walaupun jadual aktiviti Kawat pada bulan Oktober agak padat dengan lawatan ke luar negara dan anugerah kewartawanan, namun kita berhasrat untuk ke Kuantan dan Kota Bharu bulan depan.

"Jadi, saya berharap ahli yang berminat agar bersedia untuk mendaftar apabila diumumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yassin berkata, Kawat komited dalam menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab media di negeri lain dan sehingga kini ia berjalan dengan baik sekali.

Malah kata beliau, Kelab Media Pahang juga pernah ke sini tahun lalu dan tahun sebelumnya, Kawat pernah berkunjung ke Kuantan untuk bermain bola sepak.

Kawat juga katanya sentiasa mempelawa mana-mana pihak untuk mengadakan pelbagai aktiviti sukan secara bersama.

Sabtu, 13 September 2008

KAWAT BAKAL MILIKI PUSAT MEDIA


KUALA TERENGGANU 13 Sept : Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) akan mempunyai Pusat Media sendiri tahun depan apabila kerajaan negeri telah meluluskan geran sebanyak RM100,000, kata Presiden Kawat, Ayob Mamat.

Katanya, kertas kerja mengenai penubuhan Pusat Media itu kini sedang disiapkan dan akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam masa terdekat.

"Penubuhan Pusat Media ini adalah sesuatu yang telah lama kita mimpikan agar ia bukan sahaja menjadi tempat pertamuan wartawan tetapi melaksanakan pelbagai aktiviti kelab.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memahami hasrat Kawat walaupun selepas lebih 25 tahun Kawat diwujudkan di Terengganu," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan adanya Pusat Media tersebut, ia sudah tentu akan meningkatkan imej Kawat di mata umum, sekalihis membolehkan pelbagai perancangan berkaitan dilaksanakan dengan berkesan.

Ayob berkata, Kawat sememangnya mempunyai pelbagai perancangan tahun depan, bukan sahaja dalam usaha meningkatkan peranan pengamal media tetapi juga memastikan Kawat terus unggul sebagai kelab media yang hebat.

"Penubuhan Pusat Media ini pastinya menjadi kebanggaan kami dan kami komited untuk terus memastikan kita bergerak bagi memastikan kepentingan kita terus terpelihara.

"Ia juga akan menjadi pusat sehenti bagi mana-mana pihak untuk menjalinkan kerjasama dengan Kawat," ujarnya.

Khamis, 11 September 2008

MAKLUMAN DARIPADA SETIAUSAHA KAWAT



Salam sejahtera.

Mesyuarat exco Kawat yang diadakan sebelum ini telah memutuskan beberapa perkara penting untuk makluman kepada semua ahli kelab.

PENUBUHAN J/K PENGURUSAN KELAB: Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Pengerui Biro-Biro. Ia bagi membolehkan hal-hal berkait pentabiran kelab diurus dengan lebih berkesan.

ANUGERAH KAWAT: Terdapat beberapa penyertaan terpaksa ditolak kerana telah melanggar syarat penyertaan dan ia akan dimaklumkan kepada ahli berkenaan.

KEBAJIKAN AHLI: Jawatankuasa telah memutuskan bahawa bayaran kebajikan kepada ahli keluarga ahli sebanyak RM50 dihapuskan berkuatkuasa serta-mereka memandangkan ia dilihat tidak memberi banyak menafaat kepada hasrat kelab untuk mewujudkan satu hubungan silaturrahim di kalangan ahli dengan keluarga mereka. Bagaimanapun Presiden dengan disokong semua Ahli Jawatankuasa BERSETUJU untuk menaikan sumbangan kebajikan ahli daripada RM100 kepada RM150. Bagaimanapun pengurusan kelab hanya bertanggungjawab terhadap borang yang dihantar kepada Pengerusi Biro Kebajikan, En. Rosamiza Omar sahaja.

YURAN KEAHLIAN: Semua ahli yang tidak menghadiri mesyuarat agung tahunan kelab DIWAJIBKAN menjelaskan yuran tahunan semasa dengan seberapa segera. Sila hubungan Bendahari Kawat, Saudara Abdul Mubin Ismail bagi tujuan tersebut.

Untuk makluman semua ahli, tahun ini genap 26 tahun dan Kawat akan meningkatkan program atau aktiviti mempromosikan Kawat agar kita lebih dikenali, sekaligus mewujudkan jalinan kerjasama erat dengan pelbagai pihak di negeri ini.

Terima kasih.


TNB RAI AHLI KAWAT BERBUKA PUASA

DIRAI... Dari kiri: Pengurus Besar TNB Terengganu, Hj Suib Othman, Presiden Kawat, Ayob Mamat, Ketua Biro Bernama, Elmi Rizal Elias dan Timbalan Presiden Kawat, Haji Ahmad Redzal Arshad.


MENJAMU SELERA ... Ahli Kawat mengambil juadah dan makanan untuk berbuka puasa di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 10 Sept: Bagi memenuhi kelendar tahunannya bersama media, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu petang ini meraikan para wartawan dan jurugambar serta pengamal media dalam majlis berbuka puasa di Hotel Primula di sini.

Lebih 150 orang menghadiri majlis yang dianggap sangat meriah itu yang turut dihadiri Pengurus Besar TNB Terengganu yang baru, Haji Suib Othman.

Ketika berucap pada majlis itu beliau melahirkan rasa gembira kerana dapat meraikan ahli Kawat dan menjalinkan kerjasama erat dengan media di negeri ini.

Sambil mengharapkan hubungan rapat itu dapat diteruskan, beliau berkata, kedua-dua pihak mungkin boleh memikirkan pelbagai aktiviti lain yang sesuai.

"Kami sentiasa menghargai peranan serta sumbangan media dan hari ini kami mahu meraikan anda semua," ujar beliau.

KAWAT ZIARAH POLIS TRAFIK UZUR

SUMBANGAN KAMI... Presiden Kawat, Ayob Mamat (Kanan) dan
Adli Kesah menyampaikan sumbangan kepada Saudara Abas


KENANGAN ... Ahli Kawat bergambar bersama Saudara Abas Hamzah

KUALA TERENGGANU 10 Sept: Sempena bulan Ramadan ini, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat)hari ini menziahari seorang anggota trafik yang terlantar uzur, Lans Koperal Abas Hamzah di Flat Polis Padang Hiliran di sini.

Pada kunjungan hampir sepuluh pemimpin Kawat diketuai Presidennya, Ayob Mamat bagi menyampaikan sedikit sumbangan hari raya kepada saudara Abas Hamzah yang selama ini mempunyai hubungan yang baik dengan warga media di Terengganu.

Kawat telah menyumbangkan dua hamper berupa kuih raya dan wang tunai kepada Saudara Abas bagi meringankan beban beliau dalam menyambut hari lebaran yang semakin hampir.

Kunjungan itu sebagai khidmat sosial Kawat bagi membantu golongan tidak bernasib baik, sekaligus mengubah persepsi bahawa media hanya melaporkan berita semata-mata.

Kawat mengambil inisiatif ini bahawa warga media juga adalah golongan yang prihatin dan menyumbang kepada golongan yang dimaksudkan.

Semoga saudara Abas cepat sembuh. Itulah doa daripada kami semua.