Ahad, 14 September 2008

SUKAN: KAWAT MAHU KE LUAR



KUALA TERENGGANU, 14 Sept: Bagi mengeratkan hubungan silaturahim dengan kelab media di Pantai Timur, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bercadang untuk mengadakan perlawanan futsal persahabatan dengan kelab media di negeri berkenaan.


Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi Kawat, Yassin Embong berkata, perlawanan tersebut dirancang diadakan selepas Aidilfitri nanti.
Yassin Embong

"Walaupun jadual aktiviti Kawat pada bulan Oktober agak padat dengan lawatan ke luar negara dan anugerah kewartawanan, namun kita berhasrat untuk ke Kuantan dan Kota Bharu bulan depan.

"Jadi, saya berharap ahli yang berminat agar bersedia untuk mendaftar apabila diumumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yassin berkata, Kawat komited dalam menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab media di negeri lain dan sehingga kini ia berjalan dengan baik sekali.

Malah kata beliau, Kelab Media Pahang juga pernah ke sini tahun lalu dan tahun sebelumnya, Kawat pernah berkunjung ke Kuantan untuk bermain bola sepak.

Kawat juga katanya sentiasa mempelawa mana-mana pihak untuk mengadakan pelbagai aktiviti sukan secara bersama.