Rabu, 23 Januari 2013

Dato' Wan Farid lawat Pusat Media











Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengadakan lawatan ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada 20 Januari 2013 lalu.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu disambut oleh Presiden Kawat, Sdr.Ayob Mamat serta ahli jawatankuasa dan ahli Kawat.

Pada kunjungan itu, beliau memuji Kawat kerana sentiasa berusaha membuat yang terbaik untuk ahli dan mengucapkan tahniah kepada presiden kerana mampu mewujudkan Koperasi Media Terengganu Berhad yang dikhaskan kepada warga media di Terengganu.

Kunjungan selama dua jam itu berakhir dengan jamuan ringan dan penyampaian cenderamata Kawat kepada Dato' Wan Ahmad Farid.

Rabu, 16 Januari 2013

Kawat kunjung Aslina



Wartawan Berita Harian, Aslina Abu Bakar yang terlantar di wad Hospital Sultanah Nur Nazirah, Kuala Terengganu menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Hajah Shima Mohd pada 15 Januari 2013 baru-baru ini.

Aslina yang juga ahli Kawat dimasukkan ke hospital itu pada 13 Januari 2013 untuk melakukan pembedahan kerana sakit di dalam perut.

Pada kunjungan itu, Hajah Shima mewakili Kawat menyampaikan sumbangan kepada beliau dan semua rakan media dan ahli Kawat mendoakan agar Aslina cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa. -shuhaimi-

Selasa, 15 Januari 2013

Mesyuarat kali pertama AJK 2012/14





















Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) mengadakan mesyuarat Jawatankuasa 2012/14 kali pertama di Pejabat Kawat Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada 13 Januari 2013 baru-baru ini.

Walaupun terpaksa bermesyuarat dalam keadaan duduk bersila dan bersimpuh kerana peralatan pejabat tidak sempat dipasang, namun tetap berlangsung dalam keadaan ceria dan semangat kekitaan.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden, Sdr Ayob Mamat semua ahli jawatankuasa termasuk jawatankuasa dilantik hadir pada sesi mesyuarat itu.

Mesyuarat yang diadakan hampir empat jam itu membincangkan mengenai program Kawat pada tahun ini termasuk program yang membabitkan pelancongan seperti penganjuran pertandingan mencari harta karun dan beberapa program lain bertujuan membantu menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan penganjuran Anugerah Kewartawanan Kawat ExxonMobil 2013 yang akan diadakan lebih awal iaitu sebelum bulan Mei. -shuhaimi-

Rabu, 9 Januari 2013

Pejabat Kawat beroperasi pertengahan Januari






















Pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu berhadapan Pejabat BERNAMA dijangka beroperasi pada pertengahan Januari 2013 depan.
 
Bagi memastikan pejabat itu boleh beroperasi dan digunakan oleh ahli Kawat, sekumpulan ahli yang `ringan tulang’ bergotong royong membersih dan mencantikkan pejabat itu bermula jam 8.00 malam 8 Januari dan gotong-royong itu tamat pada jam 12.30 tengah malam pada 9 Januari 2013.
 
Gotong-royong diketuai oleh Presiden Kawat, Sdr.Ayob Mamat bersama 13 ahli membersih tandas, dapur serta membuang sampah sarap yang ada di pejabat itu

.Selain itu, kumpulan itu turut mengecat dinding pejabat dengan warna yang lebih ceria dan menarik bagi memastikan ruang pejabat kelihatan cantik dan selesa.

Sdr.Ayob, berkata pejabat Kawat itu akan dijadikan tempat pertemuan semua rakan media serta mesyuarat AJK selain satu ruang dijadikan bilik khas untuk pejabat Koperasi Media Terengganu Berhad.
Beliau berharap, pejabat Kawat yang diidamkan selama ini dapat menjadi tempat mengeratkan hubungan dikalangan media yang ada di Terengganu.- shuhaimi-