Sabtu, 13 September 2008

KAWAT BAKAL MILIKI PUSAT MEDIA


KUALA TERENGGANU 13 Sept : Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) akan mempunyai Pusat Media sendiri tahun depan apabila kerajaan negeri telah meluluskan geran sebanyak RM100,000, kata Presiden Kawat, Ayob Mamat.

Katanya, kertas kerja mengenai penubuhan Pusat Media itu kini sedang disiapkan dan akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam masa terdekat.

"Penubuhan Pusat Media ini adalah sesuatu yang telah lama kita mimpikan agar ia bukan sahaja menjadi tempat pertamuan wartawan tetapi melaksanakan pelbagai aktiviti kelab.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memahami hasrat Kawat walaupun selepas lebih 25 tahun Kawat diwujudkan di Terengganu," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan adanya Pusat Media tersebut, ia sudah tentu akan meningkatkan imej Kawat di mata umum, sekalihis membolehkan pelbagai perancangan berkaitan dilaksanakan dengan berkesan.

Ayob berkata, Kawat sememangnya mempunyai pelbagai perancangan tahun depan, bukan sahaja dalam usaha meningkatkan peranan pengamal media tetapi juga memastikan Kawat terus unggul sebagai kelab media yang hebat.

"Penubuhan Pusat Media ini pastinya menjadi kebanggaan kami dan kami komited untuk terus memastikan kita bergerak bagi memastikan kepentingan kita terus terpelihara.

"Ia juga akan menjadi pusat sehenti bagi mana-mana pihak untuk menjalinkan kerjasama dengan Kawat," ujarnya.