Selasa, 23 September 2008

DATUK AHMAD SHABERY CHEEK RASMI ANUGERAH KAWAT-EXXONMOBIL



Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dijangka akan hadir bagi menyampaikan Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2008 pada 20 Oktober ini. Presiden Kawat, Ayob Mamat telah menemui beliau di Kuala Terengganu kelmarin dan menyampaikan jemputan lisan bagi mengundang Ahli Parlimen Kemaman itu. hari ini pula (23hb September), Setiausaha Akhbar beliau, Hisham Abdul Hamid ketika dihubungi Ayob memaklumkan bahawa Datuk Ahmad Shabery pada dasarnya telah bersetuju dengan jemputan Kawat. Kawat bercadang untuk mengadakan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) dengan tema "kemeriahan di Aidilfitri".

ExxonMobil sekali lagi meneruskan penajaan anugerah ini untuk kali 22 dengan nilai tajaan sebanyak RM40,000. Kawat berhasrat untuk menganjurkan majlis tersebut lebih meriah tahun ini bagi memandangkan Kawat ini sudah pun berusia 25 tahun.

Kawat juga bercadang untuk mengundang bekas-bekas pemimpin Kawat yang kini bertugas di seluruh negara untuk sama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Selain itu, pertemuan dengan Presiden Kelab-Kelab seluruh negara juga akan diadakan di Kuala Terengganu sempena Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil itu nanti bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan kepentingan media. Ia juga memungkinkan bagi mewujudkan sebuah Sekretariat Media Kebangsaan. Pentadbiran Kawat sedang menguruskan hal-hal berkaitan jemputan.