Khamis, 18 Mac 2010

Mari Gi Candat!!

Gambar Hiasan

Bahagian Pelancongan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu mempelawa ahli Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) untuk menyertai pertandingan mencandat sotong sirkit ke dua di perairan Pulau Kapas pada 27 Mac ini.

Menurut Setiausaha Kawat, Rosamiza Omar, penganjur menyediakan dua bot untuk media mempamerkan kebolehan mereka mencandat sotong sempena penganjuran pertandingan itu.

Katanya, pelbagai hadiah menarik disediakan kepada mereka yang berjaya menaikkan sotong yang paling panjang dan sotong terbanyak.

Kepada yang berminat sila membuat pendaftaran dengan menghubungi Setiausaha Kawat di talian 019 9884121 pada atau sebelum 21 Mac ini.

Jom! Kita Candat Sotong...-mismat-

Rabu, 17 Mac 2010

KAWAT: TERKENANG KISAH LALU

Ahli-ahli KAWAT ketika mengadakan kunjungan ke atas Menteri Besar (bekas) Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di kediaman beliau di Kuala Terengganu. Telah ada di kalangan mereka yang meninggal dunia. Al fatihah.


Wajah-wajah ahli KAWAT ketika bertugas sekitar tahun 80-an.

Dua gambar di atas, bukan sahaja telah meninggalkan sejuta kenangan kepada mereka yang berada di dalam gambar ini, malah juga buat Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT).

Mereka ini telah memberikan komitmen sepenuhnya kepada KAWAT dalam apa jua perkara sehingga mereka menjadikan kelab ini sebagai satu KELUARGA buat mereka. Inilah kehebatan warga KAWAT dahulu.

Hubungan yang akrab itu tergambar melalui foto ini dan berharap ahli KAWAT yang ada hari ini akan mencontohi mereka.

Selasa, 9 Mac 2010

Kawat Rai Wartawan Thailand

Delegasi Wartawan Narathiwat bergambar kenangan bersama AJK Kawat dan wartawan tempatan.

Seramai 32 wakil media Muslim Narathiwat, Thailand melahirkan rasa gembira dan seronok ketika berada selama dua hari pada program lawatan sambil belajar ke Kuala Terengganu.

Kegembiraan itu dilahirkan ketua delegasi yang juga Timbalan Gabenor Narathiwat, Niphon Narapitakul kepada Timbalan Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) Haji Ahmad Redza Arshad pada majlis makan tengah hari anjuran Kawat di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu pada 8 Mac 2010.
Haji Ahmad Redza menyampaikan cenderahati kepada Niphon Narapitakul

Haji Ahmad Redza, berkata kunjungan delegasi wartawan itu adalah petanda baik hubungan dua hala antara wartawan Thailand dengan wartawan Malaysia.

Exco Kawat, Sharifah Salwa (TV3) dan Kharul Azlam (Siasah) bertukar pendapat dengan wartawan Narathiwat.

`Kita mengalu-alukan kedatangan mereka ke Terengganu, malah berharap hubungan itu terus kekal dan tidak kerana lawatan semata-mata tetapi merangkumi semua aspek,' katanya.

Exco Kawat, Baharom Che Bakar (Berita Harian) melayan wartawan Narathiwat pada majlis makan tengah hari di Hotel YT Midtown.

Sementara itu, Niphon Narapitakul berkata pihaknya turut berterima kasih kepada Kawat yang banyak membantu serta sikap ramah mesra ketika menerima kunjungan beliau dan rombongan.

Beliau berharap, jalinan kerjasama ini akan datang diteruskan pada masa akan datang -mismat-

Jumaat, 5 Mac 2010

Jom Ke Majlis Perkahwinan Ira di KB

Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) akan menganjurkan lawatan sehari ke Kelantan sempena majlis perkahwinan ahli Kawat yang juga wartawan Sinar Harian, Azira (Ira) Mohd Nasir pada Jumaat 12 Mac ini.

Selain meraikan majlis perkahwinan Ira di Kota Bahru, ahli juga berpeluang membeli belah di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur serta membeli belah di bandar Kota Bahru.

Kawat menyediakan sebuah bas dengan hanya 32 ahli sahaja dibenarkan menyertai lawatan itu berdasarkan `siapa cepat dia dapat'.

Jadual lawatan adalah sebagaimana berikut:

7.30 pagi - Bertolak ke Pangkalan Kubur untuk membeli belah
2.30 ptg - Menghadiri kahwin Ira
5.00 ptg - Pertemuan/hi tea bersama Kelab Media Kelantan
6.30 ptg - Menziarahi Ketua Biro Bernama yang bersalin di Kota Bharu
7.45 mlm - Membeli belah di pasar Wakaf Che Yeh
(Jadual ini bagaimanapun tertakluk kepada pindaan)


Kepada ahli yang berminat, sila daftar dengan menyertakan deposit RM20 kepada Setiausaha Kawat, Rosamiza Omar (Bernama), Aida Abdul Rahman (UKOM), Rida Suzirawati (Bilik Berita RTM) dan Shuhaimi Ahmad (Jab Penerangan Negeri Terengganu). Deposit akan dipulangkan semula kepada ahli yang menyertai lawatan itu ketika sampai ke destinasi manakala bagi yang mendaftar tetapi tidak menyertai lawatan itu, deposit akan menjadi milik Kawat.

Pendaftaran secara kelompok TIDAK DIBENARKAN dan hanya ahli yang MEMBAYAR YURAN/TELAH HADIR MESYUARAT AGUNG TAHUN INI akan diberikan keutamaan.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada jam 3 petang Selasa 9 Mac 2010. -mismat-

Mesyuarat Pertama Exco Kawat

Presiden KAWAT, Ayob Mamat (hujung) mempengerusikan mesyuarat exco KAWAT pertama di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Pulau Kambing 3hb Mac 2010


Mesyuarat pertama Exco Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) baru-baru telah menyaksikan penubuhan beberapa biro penting yang dianggap mampu memacu kelab ini ke era yang lebih gemilang, bersandarkan beberapa strategi yang telah dirancang.

Penubuhan biro berkenaan yang dipimpin oleh Exco yang dianggap mampu membawa hasrat dan impian KAWAT bagi memastikan kelab ini terus kekal sebagai kelab media paling aktif di negara ini.

Ceria ... Mesyuarat Exco KAWAT sentiasa ceria dengan gelagat yang mencerminkan semangat hubungan kekeluargaan di kalangan mereka.

Penubuhan biro berkenaan telah diumumkan Presiden, Ayob Mamat iaitu Biro Sukan dan Rekreasi diketuai Shamsiah Mohamad (Bernama) dan dibantu I Ling, Wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Aida Abdul Rahman mengetuai biro yang baru iaitu Biro Keahlian dan dibantu oleh Rida Suzirawati Muda (RTM) manakala Hashimah Mohd (Berita Harian) mengetuai Biro Kebajikan dibantu oleh Khairul Azlam Mohamad (Siasah).

Dua lagi biro yang baru diperkenalkan iaitu Biro Promosi/Publisiti diketuai oleh Jurufoto Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Shuhaimi Ahmad dibantu oleh Wartawan TV3, Sharifah Salwa Syed Mohamad manakala Penolong Pengarah Penerbitan Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Kamaruddin Mat Akib mengetuai Biro Projek Khas dan beliau dibantu oleh Wartawan Berita Harian, Baharom Che Bakar.

Pada mesyuarat itu, Ayob turut merancang pelbagai program termasuk majlis dialog serta pertemuan wartawan dengan pemimpin negeri serta badan korporat setiap bulan, majlis sambutan 25 Tahun Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil, pertemuan dengan Kelab Media Pahang dan penubuhan Kelab Alumni Kawat di Kuala Lumpur.

Presiden turut mengumumkan pelantikan Puan Dr Nawiyah Che Lah (Pengarah Penyiaran/RTM), Mustafa Kamal Lakawa (Ketua Biro Kosmo!), Mohd Lazim Endut (Ketua Biro Sinar Harian) dan Mohd Kamal Ariffin (NST) sebagai Exco tambahan dan dipersetujui sebulat suara oleh Exco KAWAT.

Selain itu, Presiden turut meminta ajk serta ahli Kawat sentiasa memberi kerjasama kepada kelab dan menyertai akitiviti yang diadakan oleh Kawat. -mismat-

Isnin, 22 Februari 2010

KAWAT ZIARAHI MP KUALA NERUS

Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Sdr Ayob Mamat menziarahi Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri di 7AB Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam. (21 Feb 2010).

Pucuk kepimpinan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) yang baharu dipilih dalam mesyuarat agung Sabtu lalu bersama beberapa ahli telah menziarahi Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri yang dirawat di Wad Bunga Raya Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Selain Presiden, Ayob Mamat, mereka yang lain ialah Haji Ahmad Redzal Arshad (Timbalan Presiden), Hajjah Hashimah Mohd, Shuhaimi Ahmad dan Mohd Yassin Embong yang kesemuanya adalah Exco KAWAT.

Ahli-ahli KAWAT yang turut menyertai lawatan itu ialah Ruslan Abdul Rahman, Shahrom Bakar, Tuan Azam Tuan Johan, Arjasneh Ahmad dan Mi Astro Awani.

Kepimpinan KAWAT telah meluangkan masa beberapa minit untuk bertanya khabar YA Datuk Mohd Nasir yang hanya mengalami batuk dan sedikit jangkitan kuman.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus kelihatan ceria dan mesra di samping isterinya, To' Puan Hajah Sabariah dan sentiasa tersenyum menerima kunjungan tetamu termasuk rakan-rakan media.

Presiden dan ahli Kawat mendoakan semoga Dato' Mohd Nasir cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa. -mismat-

Sabtu, 20 Februari 2010

Mesyuarat Agung Kawat Lancar

Barisan baru Ahli Exco Kawat yang diketuai oleh Presiden Ayob Mamat. -mismat-

Presiden menyampaikan cenderahati kepada YB Ustaz Khazan kerana sudi merasmikan Mesyuarat Agung Kawat. -mismat-


Perbincangan serius antara Presiden dengan Timbalan Presiden sebelum pengundian dijalankan. -mismat-

YB Ustaz Khazan ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Kawat. -mismat-

Presiden, Sdr Ayob ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kawat di Hotel YT Mid Town. -mismat-

Sebahagian ahli Kawat yang hadir pada Mesyuarat Agung Kawat di Hotel YT Mid Town. -mismat-

Suasana ketika mengira undi pencalonan AJK Kawat. -mismat-

Pengerusi mesyuarat Mesyuarat Agung Kawat, Tuan Haji Mohamad Ishak mempengerusikan mesyuarat yang diadakan di Hotel YT Mid Town. -mismat-

Presiden menyaksikan penyerahan tugas Setiausaha Kawat daripada Aida Abdul Rahman kepada Setiausaha Kawat yang baru, Rosamiza Omar. -mismat-