Rabu, 25 Julai 2012

KAWAT DUDUKI J/K MAJLIS PERUNDINGAN NGO TRG

Kawat diberikan pengiktirafan menyertai Majlis Perundingan NGO Terengganu

Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) sekali lagi diberikan pengiktirafan apabila dipilih menduduki Jawatankuasa Majlis Perundingan NGO Terengganu.

Tiga wakil KAWAT yang terpilih ialah Presidennya, Ayob Mamat, Timbalan Presiden, Haji Ahmad Redza Haj Arshad dan Exco Kawat, Mohd Lazim Endut.

Kawat telah memainkan peranannya secara aktif melalui majlis tersebut bagi menyalurkan apa jua pandangan serta idea mengenai pelbagai isu-isu berkaitan.

Selain Majlis Perundingan NGO, Kawat sebelum ini telah dilantik untuk menduduki dalam pelbagai jawatankuasa lain melibatkan banyak pihak.


KAWAT SERTAI BOLING MEDIA PETRONAS GAS

Rombongan KAWAT menjamu selera di Dungun ketika dalam perjalanan pulang dari menyertai kejohanan boling media di Kerteh.

Buat pertama kali Petronas Gas telah menganjurkan Kejohanan Boling antara media Terengganu dan Pahang yang berlangsung di Mesra Mall, Kerteh.

Program tersebut disertai lebih 30 peserta dari KAWAT dan 30 wakil Kelab Media Pahang selain wakil Petronas Gas.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Hasnan Wan Abdullah dan beberapa pegawai kanan yang lain.

Ia bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara pihak-pihak berkenaan.

Turut diadakan adalah hadian cabutan bertuah.

Sebelum ini, Petronas Gas hanya menganjurkan kejohanan boling media melibatkan negeri masing-masing.

JUMPA DATUK SERI UTAMA DR RAIS YATIM

Presiden Kawat, Ayob Mamat dan Exco Kawat, Suhaimi Ahmad turut mengiringi YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

YB Menteri berada sehari di Terengganu dalam rangka lawatan kerja sehari beliau ke sini.

Pada lawatan tersebut, beliau turut menemui rakan-rakan media dan bloger bagi bertukar-tukar pandangan.

KAWAT TURUT ANJUR SIDANG MEJA BULAT MENGENAI BAHASA MELAYU

Presiden Kawat, Ayob Mamat bersama sebahagian peserta Persidangan Meja Bulat Mengenai Pencemaran Bahasa yang diadakan di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Sebahagian peserta yang mengambil bahagian.

Sebagai tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bersama beberapa NGO lain berganding bahu menganjurkan Persidangan Meja Bulat Mengenai Pencemaran Bahasa yang diadakan di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Program yang dianjurkan bersama Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dan Gagasan Terengganu itu telah dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Lebih 30 orang peserta menyertai program setengah hari itu yang terdiri daripada pakar-pakar bahasa serta mereka yang cintakan bahasa Melayu.

Mereka telah merumuskan banyak perkara dan resolusi yang diputuskan pada persidangan itu akan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.




KAWAT Tuan Rumah Karvinal Sukan Media-Petronas 2012

Exco KAWAT sedang mengadakan perbincangan dengan pegawai Petronas di Kompleks Petronas, Kerteh.

Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) bakal menjadi tuan rumah Karnival Sukan Media-Petronas Pantai Timur yang dijadual berlangsung pada September ini.

Program yang pertama kali dianjurkan oleh KAWAT itu telah mendapat tajaan daripada syarikat minyak Petronas yang telah pun meluluskan permohonan KAWAT bagi tujuan tersebut.

Beberapa kategori sukan akan dipertandingan termasuk badminton, boling, futsal, ping pong dan golf.

Program tersebut antara lain bertujuan bagi memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan hubungan silatirrahim antara pengamal media di tiga negeri tersebut dengan Petronas.

Perbincangan mengenai perkara tersebut telah diadakan di Kerteh baru-baru ini.

WAKIL KAWAT KE BANDUNG

Presiden Kawat, Ayob Mamat (Berbaju merah) dan AJK Kawat, Mohd Lazim Endut (Tiga dari kanan) menerima cenderahati dari penggerak budaya Bandung, Indonesia.

Presiden KAWAT, Ayob Mamat dan seorang AJK Kawat, Mohd Lazim Endut telah menyertai Program Penataraan Budaya ke Kota Bandung, Indonesia baru-baru ini.

Pada kunjungan tersebut, mereka menemui beberapa tokoh budaya dan pengamal media Indonesia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara.

Jelas sekali, mereka sangat teruja dengan pertemuan tersebut dan KAWAT telah menjadi sebuah kelab media yang menjadi sebutan oleh mereka.

KAWAT akan terus berusaha untuk mempromosikan kelab itu dengan lebih agresif lagi pada masa akan datang.

Isnin, 14 Mei 2012

Mesyuarat Bincang Program

Mesyuarat Jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (Kawat)  2010/12 kali ketujuh yang diadakan di Hotel YT Mid Town, Kuala Terengganu pada 13 Mei 2012 lalu membincangkan pelbagai program yang akan diadakan kelab itu termasuk program anjuran agensi lain yang membabitkan warga media.

Mesyuarat yang berlarutan hampir dua jam itu membincangkan program termasuk penganjuran `Mencari Harta Karun’ sempena Pesta Pantai Terengganu 2012 yang dijadualkan pada 2 Jun 2012, lawatan ke Melaka, Anugerah Kewartawanan Kawat ExxonMobil 2012 (AKKEM), Sukan Media Petronas dan beberapa program agensi kerajaan yang membabitkan Kawat.

Program lawatan ke Melaka dijadualkan selama tiga hari bermula 14 Jun 2012 dan seramai 36 ahli berdasarkan `first come, first serve’ akan menyertai lawatan tersebut. Selain Melaka, rombongan dijangka singgah di Negeri Sembilan dan Johor.

Kepada ahli yang berminat boleh hubungi Shuhaimi Ahmad di talian 013 9841813 atau Kamaruddin Mat Akib di talian 019 9831602 dan kepada ahli yang berminat perlu menyertakan wang deposit sebanyak RM50.00 dan wang ini akan dikembalikan kepada peserta ketika tiba di Melaka manakala wang tersebut akan menjadi milik Kawat jika tidak dapat menyertai lawatan itu.

Mesyuarat turut membincangkan AKKEM 2012  yang dijangka akan diadakan pada penghujung Ogos 2012 dan penyertaan bagi berita dan gambar yang disiarkan sepanjang 2011 itu boleh dihantar kepada urus setia bermula sekarang dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Jun 2012.
AKKEM pada kali ini akan menyaksikan pertambahan kategori serta jumlah hadiah bagi memberi lebih banyak penyertaan kepada ahli.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Kawat, Sdr. Ayob Mamat turut membincang serta menamakan dua ahli Kawat yang akan mengerjakan ibadat haji tajaan Kerajaan Negeri Terengganu. Dua nama yang telah dikenal pasti itu akan dihantar ke Pejabat Menteri Besar Terengganu secepat mungkin bagi memudahkan proses dokumentasi.

Selain perbincangan mengenai program, mesyuarat turut mengucapkan selamat bertukar dan terima kasih kepada dua AJK Kawat yang banyak membantu serta memberi idea ketika bersama Kawat. Mereka yang bertukar iaitu Noorshamsiah (Bernama) dan Mustafa Lakawa. Noorshamsiah telah bertukar ke Johor manakala Mustafa ke Sabah.

Ucapan tahniah juga turut disampaikan oleh Kawat kepada ahli Kawat yang baru-baru ini melangsungkan perkahwinan iaitu Jurugambar Utusan Malaysia, Sdr Azlan Baharom. Kawat mendoakan perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat. – shuhaimi ahmad-